Sunday, July 19, 2009

Bahaya Pemfitnah

Entri ini tiba-tiba muncul di kala kerja yang bertimbun, sebagai satu dedikasi buat pihak-pihak yang suka mencipta cerita. Mencetus kisah tentang pihak lain, lebih kritikal bila cerita yang dijaja itu palsu. Kadang-kadang dengan alasan sekadar untuk berseronok, atau kononnya menyampai maklumat. Padahal tindakan itu dikira sebagai fitnah yang dilaknat Tuhan.

Ramai yang sedar, banyak fitnah yang ditabur oleh sesetengah politikus; sebagai senjata untuk menyerang peribadi musuh politiknya. Juga fitnah yang disebar oleh musuh-musuh di medan bisnes, demi memastikan perniagaan lawannya gulung tikar. Tidak lupa fitnah-fitnah busuk yang meniti di bibir, kerana timbulnya rasa hasad dan dengki. Mungkin juga kerana kejahilan seseorang akan suatu fakta, menyebabkan dia mereka kisahnya sesuka hati. Kononnya dia handal dan maha tahu.

Tetapi kita sering lupa, fitnah yang tercetus ketika sedang berborak di kedai kopi, atau bersembang di alam maya. Mungkin juga menerusi perbualan telefon. Tanpa wujud niat buruk pun; namun kerana kegatalan mulut yang selalu sibuk menceritakan hal orang lain, atau mungkin kerana tiada kerja lain - maka kisah orang lain jadi bahan borak. Tanpa dia sedar bahawa langkahnya makin hampir dengan dosa-dosa angkara mulutnya sendiri.

Suatu hidangan akan lebih umph bila ditambahkan dengan perisa seperti ajinomoto. Juadah yang terhidang akan bertambah kelazatannya. Begitu juga dalam berbicara. Cerita-cerita yang kualitinya sederhana, akan ditambah dengan rencah sesedap rasa, bagi menghangatkan lagi suasana penceritaan, di samping menampilkan isi-isi yang lebih menarik. Parti yang mendengar mula melopong sambil menongkat dagu - bersubahat sambil menadah telinga.

Sayangnya bila perencah yang ditambah itu tidak asli, sebaliknya palsu dan sarat unsur penipuan. Maka, akan berubahlah dari tindakan mengumpat kepada tindakan memfitnah; yang dosanya telah dinyatakan secara jelas di dalam dalil-dalil syar'ie. Ternyata, Islam sebagai anutan kesejahteraan secara tegas mengharamkan tindakan yang bisa memporak-perandakan ummah ini. Jelas, inilah antara virus yang menjangkiti rakyat di tanahair ini; seterusnya membawa pada penyakit yang jauh lebih kritikal - perpecahan di kalangan yang bersyahadah. Aduhai, malangnya!

Dalil yang acapkali didengari berkaitan isu ini, tidak lain tidak bukan hujahan bahawa memfitnah itu lebih teruk dari membunuh. Tetapi, sejauhmana kita benar-benar mengimani hukum yang digariskan ini. Atau sekadar mainan bibir, tanpa ada rasa khuatir dalam berkata-kata. Walau sekelumit.